Latar Belakang

Yayasan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia (YPPKM) ditubuhkan untuk merealisasikan konsep 1Malaysia dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil. Yayasan ini akan menjalankan aktiviti yang dapat memanfaatkan golongan penjaja dan peniaga kecil. Walau bagaimanapun, projek yang utama adalah mengendalikan skim mikro kredit yang diisytiharkan oleh YAB Perdana Menteri dalam Bajet 2015. Pihak kerajaan telah menyediakan pinjaman mudah sebanyak 30 juta ringgit untuk penjaja dan peniaga kecil kaum Cina. Pada masa ini, yayasan akan membantu pihak kerajaan untuk mengendalikan mikro kredit penjaja dan peniaga kecil Cina.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Hj. Mohd Najib bin Tun Hj. Abdul Razak telah mengumumkan bahawa kerajaan akan menyediakan pinjaman mudah sebanyak RM 30 juta bagi membantu penjaja dan peniaga kecil kaum Cina semasa pembentangan Belanjawan 2015 pada 10 Oktober 2014. Unit Pembangunan Penjaja, Peniaga Kecil dan Wakaf Hindu (UPPPKWH), Jabatan Perdana Menteri telah ditubuhkan pada 1 Oktober 2014 di Pejabat YB Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. UPPPKWH mengamanahkan Yayasan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia (YPPKM) untuk menguruskan skim mikro kredit.

Yayasan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia (YPPKM)

Permohonan penubuhan Yayasan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia (YPPKM) telah diluluskan pada 10 Februari 2015.

Objektif utama YPPKM

  1. Mengendalikan skim mikro kredit untuk membiayai keperluan semasa para penjaja dan peniaga kecil Cina
  2. Membantu para penjaja dan peniaga kecil menjana peluang perniagaan demi meningkatkan sara hidup serta kebajikan golongan ini
  3. Menjana keuntungan perniagaan demi meningkatkan pendapatan individu